Pengurus Chelsea, Antonio Conte, menuntut pengenalan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga Perdana selepas The Blues tumbang 2-1 kepada Manchester United, tengah malam tadi.

Juara bertahan itu mencetak gol di Old Trafford menerusi sentuhan pemusnah Willian, namun jaringan Romelu Lukaku dan Jesse Lingard membawa kemenangan kepada tuan rumah.

Berlaku insiden kontroversi di penghujung permainan apabila Alvaro Morata yang menyempurnakan hantaran Cesc Fabregas didakwa berada dalam kedudukan ofsaid.

Rakaman menujukkan kedudukannya sangat rapat dengan Chris Smalling, lalu Conte percaya penggunaan VAR yang telah diuji dalam kempen Piala Liga Inggeris musim ini akan membuat perbezaan.

"Saya berasa keputusan seri adalah lebih adil untuk perlawanan ini, namun kita bercakap tentang kekalahan," katanya kepada Sky Sports.

"Saya harus jujur, saya tidak melihat situasi itu tetapi jika anda memberitahu saya sama ada Alvaro Morata bersalah, saya fikir VAR sangat penting, terutama di England. Ada banyak detik dalam permainan yang perlu mendapat rujukan."

Kekalahan itu meninggalkan Chelsea di tangga kelima dengan Tottenham Hotspur meraih tangga keempat menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Crystal Palace, dan Conte mengakui pasukannya kini menghadapi tugas berat dalam pemburuan slot Liga Juara-Juara (UCL).

"Kami perlu lebih klinikal," katanya. "Sebaliknya, kami terus membiarkan permainan terbuka dan lawan menghukum kami. Manchester United adalah pasukan yang hebat dan kami harus kecewa kerana saya ulangi, hari ini kami boleh melakukannya dengan lebih baik.

"Kami tahu ada persaingan sengit untuk meraih kelompok empat terbaik dan adalah sukar untuk merebut tempat dalam UCL."

Pemain tengah, Danny Drinkwater, berasakan Chelsea layak untuk sekurang-kurangnya mengikat kelab lamanya itu dengan memberitahu BBC Sport: "Kami perlu lebih pantas.

"Pada separuh masa pertama, kami dominan. Babak kedua adalah lebih seimbang tetapi kami tidak sepatutnya kalah.

"Sudah tentu ada beberapa bahagian yang kami boleh perbaiki. Pertama sekali, apa yang kami boleh perbaiki untuk tidak melepaskan gol dan menjaringkan gol lebih banyak, namun bola sepak kadang-kadang tidak menyebelahi anda sepertimana pada hari ini.

"Saya tidak menonton aksi Spurs, saya menumpukan perhatian kepada pasukan sendiri dan nasib terletak di tangan kami sendiri.

"Kami perlu mendapatkan keputusan yang baik dan diharapkan hasil lain akan menyebelahi kami."