Antonio Conte mengakui bahawa Tottenham Hotspur semakin berkembang meninggalkan Chelsea menjelang aksi kedua-dua pasukan, malam esok.

Chelsea akan melayani kunjungan Spurs di Stamford Bridge dengan misi mengurangkan jurang lima mata, sekali gus mencerahkan peluang ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Walaupun Conte membawa The Blues menjuarai saingan liga dalam musim pertamanya di England, mereka tampak bergelut dengan prestasi musim ini sehingga membuat pengurus dari Itali itu mengakui akan perkembangan Spurs mengatasi pasukannya.

“Ya, saya rasa mereka telah bermula lebih awal berbanding kami. Saya bercakap mengenai waktu saya di sini.

“Sudah tentu mereka lebih ke hadapan berbanding kami tetapi musim lalu, kami layak ke final Piala FA dan memenangi liga,” kata Conte.

Mauricio Pochettino masih belum memenangi sebarang trofi walaupun mempamerkan hasil kerja yang mantap bersama Spurs, membuat Conte mudah menjelaskan kesukaran apabila beraksi di pentas tertinggi England.

“Kita sedang bercakap tentang sebuah pasukan yang telah bersaing hebat selama beberapa tahun. Dua tahun lalu, mereka hampir menyaingi Leicester dan tahun lalu mereka bersaing sengit dengan kami.

“Secara jujur, saya akui Pochettino adalah pengurus yang bagus. Dia layak menerima pujian atas sumbangannya buat Spurs. Namun, hanya ada satu pasukan akan bergelar juara di England,” tambah Conte.

“Setiap musim, ada enam pasukan yang menyasarkan kejuaraan dan buktinya, musim lalu kami memenangi liga tetapi Manchester United menjuarai Piala Liga sementara Arsenal menjulang Piala FA.

“Musim ini, Manchester City mungkin meraih kejuaraan liga tetapi mereka terkandas dalam Piala FA. Ia tidak mudah.

“Sejujurnya, lebih mudah buat pengurus-pengurus memenangi piala di negara lain kerana di England sangat sukar,” katanya.