Chelsea mengesahkan bahawa Antonio Conte telah meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih kelab itu.

Pengendali berusia 48 tahun itu meninggalkan Stamford Bridge kurang daripada dua bulan selepas mencipta kejayaan menjuarai Piala FA selepas menewaskan Manchester United dalam final.

Perkhabaran ini mengakhiri spekulasi sejak beberapa bulan lalu mengenai masa depan Conte bersama kelab berkenaan.

Bekas pengendali Juventus itu tidak memiliki kuasa untuk menentukan perpindahan masuk atau keluar pemain di samping mengakhiri saingan di luar kelompok empat paskan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) -- setahun selepas menjuarai gelaran -- yang mendorong cadangan mengenai pemecatannya.

"Kelab bolasepak Chelsea dan Antonio Conte telah berpisah," kata kenyataan yang dikeluarkan kelab.

"Semasa Conte bersama pasukan, kami menjuarai liga buat kali keenam dan Piala FA yang kelapan. Pada musim kami menjuarai liga, kelab telah merekodkan 30 kemenangan dalam 38 perlawanan EPL, termasuk dengan rekod kelab 13 kemenangan berturut-turut.

"Kami mengucapkan selamat berjaya kepada Conte dalam kariernya."

Bekas pengendali Napoli, Maurizio Sarri, merupakan pilihan untuk mengambil alih sebelum saingan kembali bermula dalam tempoh empat minggu lagi.