Conte pertahan rekod 100 penampilannya dibandingkan dengan Mourinho 

Oleh Staff Writer 21 April 2018 1017
 Conte pertahan rekod 100 penampilannya dibandingkan dengan Mourinho 
Jurulatih Chelsea, Antonio Conte, mempertahankan rekodnya bersama gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berbanding Jose Mourinho selepas mencapai 100 perlawanan.

Kemenangan 2-1 ke atas Burnley semalam adalah aksi ke-100 Conte bersama The Blues apabila menandakan kejayaan ke-65 -- jumlah itu bagaimanapun diatasi Mourinho (72).

Begitupun, Conte berkata rekodnya tidak dapat dibandingkan dengan pengurus Portugis itu memandangkan Mourinho mengendalikan Chelsea buat kali pertama pada 2004.

"Sudah tentu, ini adalah statistik yang baik tetapi saya tahu bahawa musim ini kami boleh melakukannya dengan lebih baik lagi," kata Conte kepada akhbar UK.

"Mourinho merakamkan 72 kemenangan dalam 100 aksi terawalnya. Kita bercakap mengenai seorang pengurus hebat, jangan lupa bahawa 100 perlawanan pertama dengan Mourinho sudah berlalu bertahun lamanya. 

"Untuk memperoleh keputusan seperti ini di Chelsea, saya pasti gembira bagi pihak pemain dan kelab tetapi sudah pasti, kami boleh melakukannya dengan lebih baik," katanya.

Baik Conte mahupun Mourinho meraih gelaran Liga Perdana pada musim pertama di Stamford Bridge.

Pengurus kelahiran Itali itu memenangi gelaran selepas kelab itu menduduki tempat ke-10 pada musim sebelumnya.

"Saya memenangi gelaran dengan Juventus selepas dua kali meraih tempat ketujuh. Apabila anda memenangi gelaran dengan cara ini, ia adalah satu pencapaian hebat, bukannya pencapaian yang mudah," kata Conte.

"Musim lalu, kami memenangi gelaran selepas menamatkan saingan di tangga ke-10. Apabila anda memenangi gelaran dengan cara ini, bermakna ia satu pencapaian hebat.

"Ia bukan pencapaian mudah hanya kerana nama anda Chelsea dan itu adalah biasa kerana pada masa lalu, anda memenangi banyak gelaran.

"Anda perlu melihat menerusi era sekarang," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen