Antonio Conte menjulang bapanya kerana menjadi inspirasinya terhadap pendekatan yang penuh bersemangat mengeluarkan arahan dari bangku simpanan dan pengurus Chelsea itu tidak bercadang mengubah pendekatannya.

Conte bakal berdepan Jose Mourinho ketika Chelsea bertandang ke laman seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, malam ini -- pertemuan pertama mereka sejak terlibat dengan perbalahan yang tidak jelas pada awal bulan lalu.

Hubungan mereka bertambah dingin selepas Mourinho merujuk pengurus terbabit berkelakuan seperti badut di bangku simpanan.

Walaupun dia tidak menyebut nama Conte, pengurus dari Itali itu terasa hati dengan kata-kata pedas berkenaan.

Bercakap menjelang kunjungan ke Old Trafford, bekas bos Juventus itu mendedahkan bapanya yang juga merupakan bekas jurulatih pasukan belia Cosimo telah menanam semangat itu dalam dirinya dan sebab itulah, mudah untuk menjelaskan mengapa Conte bertindak balas terhadap kenyataan Mourinho itu.

"Pemilik pertama saya ketika saya mula menceburi bola sepak adalah bapa saya. Dia merupakan pemilik, jurulatih, penjaga pakaian dan pembantunya," kata Conte kepada wartawan.

"Saya telah menghabiskan sepanjang hidup saya sejak awal pembabitan di padang dengan mengikuti perkembangan pasukan kendalian bapa saya.

"Oleh sebab itu, saya perlu berterima kasih kepadanya kerana dengan semangat ini, ia membentuk keghairahan saya terhadap sukan ini," ujarnya.

Bahkan, Conte Sr bersikap tenang terhadap tahap anaknya yang tergelincir berdasarkan pemerhatiannya yang tajam berikutan kekalahan 4-1 di Watford pada awal bulan ini.

"Ayah saya menyaksikan perlawanan Chelsea menentang Watford, lalu dia menelefon saya dan berkata, 'Saya tidak melihat anda dengan kemarahan yang tepat, dengan semangat yang betul'. Itulah yang diberitahunya."

Mourinho tidak sepatutnya mengharapkan perlawanan yang tenang, namun dia berasa jengkel dengan kelakuan Conte -- seperti yang dilakukannya ketika Red Devils tumbang 4-0 di Stamford Bridge musim lalu.

"Saya tidak nampak apa yang berlaku di bangku simpanan pasukan lain atau apa yang pengurus lain lakukan," katanya.

"Pada masa itu, saya bersendirian dan di situ ada padang, pemain saya dan perlawanan.

"Saya tidak nampak apa yang berlaku kerana tumpuan saya hanya di padang," katanya.