BURNLEY 1 MANCHESTER CITY 4

Pep Guardiola menegaskan skuad Manchester City tidak pernah meragui kemampuan Gabriel Jesus untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Sergio Aguero.


Jesus menamatkan lima perlawanan tanpa jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan dua gol ketika membantu City menang 4-1 ke atas Burnley di Turf Moor awal pagi tadi.

Aguero terlepas dua perlawanan liga ekoran kecederaan paha ketika mengatasi Chelsea 2-1 dan dijangka diketepikan untuk perlawanan 'derby' Manchester, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Guardiola yakin tiada pemain City mahukan staf kejurulatihan yang bimbang dengan prestasi Jesus.

"Sememangnya bukan mudah menggantikan Aguero tetapi pasukan tidak pernah meraguinya," kata Guardiola kepada Amazon Prime.

"Sebagai penyerang, anda perlu jaringkan gol. Kadangkala ia tidak berlaku. Kami memerlukan kualiti dalam jentera serangan bagi memastikan kemenangan.

"Usaha dan komitmennya sentiasa hadir untuk pasukan tetapi ya, tujuan hidup penyerang seperti Jesus dan Aguero adalah menjaringkan gol.

"Kami bermain baik, mengawal permainan dan tidak melakukan kesilapan kecuali satu dalam separuh masa pertama dan gol yang dihasilkan tuan rumah pada penghujung permainan. Kami bermain dengan baik, kualiti pemain-pemain memastikan kemenangan."

Jesus menjaringkan gol pada pertengahan separuh masa pertama sebelum menggandakannya sejurus perlawanan bersambung apabila menampan masuk hantaran silang Bernardo Silva.

Rodri – yang beraksi cemerlang di bahagian tengah -- menyumbat gol ketiga, sebelum pemain gantian, Riyad Mahrez, melengkapkan kemenangan dengan jaringannya yang ke-50 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tuan rumah meraih jaringan sagu hati menerusi Robbie Brady pada penghujung permainan.

Guardiola sekali lagi menggunakan khidmat Fernandinho sebagai pertahanan tengah dan pengendali itu tidak merancang untuk mengubah taktikalnya dalam masa terdekat.

"Kami sedia menerima pandangan pihak media. Tetapi kami menyedari kualiti pemain-pemain dengan lebih arif berbanding anda semua. dan mengetahui apa yang diperlukan pasukan buat masa ini," kata Guardiola.

"Fernandinho memiliki kualiti, personaliti dan perwatakan yang penting dan saya gemar menurunkannya sebagai pertahanan tengah. Saya telah berkata ketika kami tewas dan ketika kami menang. Apabila kami menang, ia adalah keputusan yang tepat, ketika kami tewas, ia adalah keputusan yang salah.

"Rodri tampil cemerlang dalam posisinya. Membantu pasukan ketika menyerang dan bertahan, sangat bijak mencari ruang. Dia mula memahami corak permainan pasukan.

"Pemain yang menakjubkan, muda dan menyesuaikan diri beraksi di England. Dia seorang pemain yang mahu belajar, mendengar dan sentiasa bersedia dalam setiap sesi latihan, sebab itu kami mampu bergantung kepadanya tanpa sebarang masalah."