City tidak pernah ragu kemampuan Jesus -- Guardiola

Oleh Staff Writer 5 Disember 2019 75
City tidak pernah ragu kemampuan Jesus -- Guardiola
Pep Guardiola menegaskan Manchester City tidak pernah meragui kemampuan Gabriel Jesus untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sergio Aguero akibat kecederaan.

Jesus menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa jaringan dalam Liga Perdana Inggeris apabila menyumbat dua gol pertama pasukannya dalam kemenangan 4-1 ke atas Burnley di Turf Moor, semalam.

Aguero kini telah terlepas dua aksi liga akibat kecederaan paha yang dialami ketika menewaskan Chelsea 2-1 dan bakal diketepikan bagi perlawanan setempat Manchester, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Guardiola menegaskan tiada seorang pun pemain atau barisan jurulatih dalam pasukan City yang bimbang dengan prestasi Jesus sebelum ini.

"Sudah tentu tidak mudah menggantikan Aguero tetapi seluruh pasukan tidak meragui kemampuan Jesus," katanya kepada Amazon Prime.

"Sebagai penyerang, kadangkala anda menjaringkan gol tetapi ada masa tidak dapat melakukannya. Kami memerlukan kualiti barisan depan untuk memberikan perbezaan.

"Sudah tentu kami perlukannya. Penyerang perlu hasilkan gol dan kami perlukan dia. Usaha dan komitmen sering ditampilkannya tetapi sudah tentu penyerang seperti Jesus dan Aguero hidup untuk jaringan. Ia penting.

"Kami menampilkan permainan menarik. Mengawal lawan, tidak bolos kecuali satu peluang dalam babak pertama serta satu jaringan di penghujung perlawanan. Kami beraksi sangat baik. Kualiti pemain kami memberikan perbezaan."

Jesus memulakan aksi memukau dengan jaringan pertama dalam separuh masa pertama sebelum penggempur Brazil itu menambah gol setelah menyudahkan hantaran lintang Bernardo Silva selepas rehat.

Rodri -- yang menampilkan aksi kemas di bahagian tengah -- menghasilkan gol ketiga sebelum pemain gantian, Riyad Mahrez, meledakkan gol kelima peribadi dalam saingan liga walaupun Robbie Brady mencipta jaringan sagu hati buat Burnley.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen