Bernardo Silva percaya Manchester City berpeluang untuk membuat langkah besar dengan mempertahankan gelaran Piala Liga Inggeris (EFL) apabila bertemu Chelsea, awal pagi Isnin ini.

City memenangi trofi tersebut musim lalu selepas mengalahkan Arsenal 3-0 dalam perlawanan akhir selain meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) ketiga.

Kelab itu belum pernah mempertahankan sebarang trofi dalam sejarah mereka -- sesuatu yang mahu diperbaiki Silva ketika berdepan skuad kendalian Maurizio Sarri itu di Wembley.

"Ia sesuatu yang amat bermakna untuk sejarah kelab ini," katanya.

"Ini adalah salah satu matlamat utama kami: bukan sahaja memenanginya, bahkan terus menang dan menang.

"Kami tahu kami memiliki skuad yang mampu melaksanakannya tetapi seteru kami sangat kuat dan ia tidak akan menjadi tugas yang mudah."

City menundukkan Chelsea 6-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dua minggu lalu tetapi Silva menegaskan kali ini ia akan menjadi pertembungan yang lebih sukar.

"Kita sepatutnya melupakan perlawanan itu kerana ia tidak akan berlaku lagi," katanya.

"Kami tidak menjangkakan keputusan yang sama. Kami menentang salah sebuah pasukan terbaik di dunia meskipun pada akhir-akhir ini, keputusan tidak begitu memihak mereka.

"Menentang barisan pemain seperti Chelsea, anda tidak boleh berehat dan jika anda memberikan mereka masa untuk berfikir, bergerak dan membuat keputusan dan apa yang perlu dilakukan, maka mereka akan memusnahkan anda.

"Oleh itu, kami perlu menerapkan kekuatan yang sama."