Jurgen Klopp mengakui Manchester City membuatkan kemenangan mudah diraih selepas Liverpool bergelut untuk menundukkan Chelsea 2-1, sehari selepas juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu membelasah Watford 8-0.

Skuad The Reds menikmati aksi dalam babak pertama di Stamford Bridge, mendahului hasil percubaan 20 ela Trent Alexander-Arnold dan menggandakan kelebihan menerusi tandukan jarak dekat Roberto Firmino.

Chelsea perlahan-lahan menemui rentak dan gerakan solo N'Golo Kante dalam babak kedua memberikan mereka harapan untuk mendapatkan satu mata sebelum Michy Batshuayi dan Mason Mount terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan.

Selepas menyaksikan pasukan bimbingannya itu meraih kemenangan ke-15 berturut-turut dalam saingan liga, Klopp memuji keinginan Liverpool sambil menghormati City yang sentiasa dahagakan jaringan.

Apabila ditanya mengenai prestasi cemerlang pasukannya, Klopp memberitahu Sky Sports: "Ia terkecuali tetapi kami perlu teruskan cabaran, kami tidak memikirkannya.

"Kami tidak perlu cuba untuk teruskan apa-apa catatan. Kami berjuang setiap masa. Setiap kali kami hasilkan gol, ia membantu dalam mencipta kemenangan tetapi ia sentiasa berbaloi untuk kami.

"Normal apabila berada di bawah tekanan tetapi kami bertahan dengan baik. Inilah Liga Perdana Inggeris. Jika anda tidak tamatkannya, ia terbuka sehingga perlawanan berakhir.

"Ia tidak semudah seperti apa yang dilakukan City. Mereka beraksi cemerlang dan ia sukar dipercayai. Kami belum menemui aksi sebegitu tetapi sentiasa berusaha. Pemain bersedia untuknya."

Kedua-dua jaringan Liverpool hadir daripada situasi bola mati selepas sepakan percuma Mohamed Salah menemui Alexander-Arnold untuk gol pembukaan sambil umpanan Andy Robertson disempurnakan Firmino untuk melebarkan kelebihan.

Klopp tidak dapat menyembunyikan rasa puas selepas apa yang dilakukan ketika sesi latihan memberi pulangan sambil dia tidak cemas dengan tekanan yang dipamerkan Chelsea pada lewat permainan.

"Ia satu persembahan yang bagus, aspek pertahanan yang mantap dalam babak kedua," katanya.

"Ia adalah aksi yang bagus. Dua pasukan yang baik. Kami mengawal babak pertama dan menyumbat dua jaringan hasil daripada situasi bola mati.

"Kami berlatih dengannya. Semua perkara yang dilakukan dalam latihan dapat diterjemahkan ketika perlawanan sebenar.

"Setiap pemain menunjukkan usaha. Anda tidak boleh menang di Chelsea tanpa mempamerkan aksi kemas dan kami melakukannya. Saya sangat gembira."