Fernandinho berkata pasukannya, Manchester City, "berjuang seperti binatang" untuk mengekang seteru mereka, Liverpool, dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Juara bertahan, City, terus mendapat saingan daripada Liverpool dengan kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan satu mata dengan berbaki tiga perlawanan musim ini.

City bangkit daripada kekecewaan dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah untuk menewaskan Tottenham Hotspur 1-0, Sabtu lalu, sebelum menewaskan pasukan jiran, Manchester United, 4-0 semalam.

Sebanyak 15 kemenangan daripada 16 perlawanan liga buat skuad kendalian Pep Guardiola itu, termasuk kemenangan 2-1 ke atas Liverpool di Stadium Etihad, 3 Januari lalu, meletakkan City di puncak liga menjelang pertemuan dengan Burnley, Leicester City dan Brighton and Hove Albion bagi baki saingan musim ini.

Fernandinho bercakap mengenai kepentingan kemenangan ke atas Liverpool, lebih kurang empat bulan lalu, yang merupakan kekalahan tunggal The Reds dalam saingan liga, menjadi punca skuad kendalian Jurgen Klopp itu ketinggalan satu mata di belakang mereka.

Ditanya mengenai semangat yang dipamerkan City sepanjang musim ini, pemain tengah kebangsaan Brazil itu berkata kepada wartawan: "Terutama selepas tewas kepada Tottenham, Sabtu lalu, cara kami bermain dalam babak pertama.

"Kami menunjukkan keinginan untuk memenangi bola seperti binatang.

"Saya fikir itulah semangat pasukan yang mahu menjadi juara.

"Jika anda melihat pada Januari lalu, Liverpool akan berkelebihan 10 mata jika memenangi perlawanan itu dan kami tidak mahu ia terjadi.

"Kami merapatkan jurang kepada empat mata dan kini kami berkelebihan satu mata.

"Itulah caranya kejuaraan Liga Perdana akan ditentukan dan saya berharap kami dapat menjalankan tugas dengan memenangi ketiga-tiga perlawanan terakhir dan mempertahankan kejuaraan," katanya.

Selepas ini, City akan berkunjung ke Turf Moor bagi pertemuan dengan Burnley, yang ditewaskan mereka sebanyak dua kali dengan keputusan 5-0 dalam saingan liga dan Piala FA musim ini.

Bagaimanapun, skuad kendalian Guardiola itu menyasarkan untuk menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan Liga Perdana sejak United melakukannya pada 2009 dan Fernandinho tidak menjangkakan ia tugas yang mudah.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sangat penting dan sangat sukar buat kami.

"Kami mempunyai tiga perlawanan untuk ditamatkan, tiga perlawanan terakhir dan kami mahu memenangi kesemua daripadanya."

Fernandinho, yang dinamakan dalam pasukan terbaik Persatuan Bolasepak Profesional (PFA) semalam, dijangka tidak akan diturunkan dalam perlawanan menentang Burnley selepas mengalami kecederaan sewaktu menentang United.