Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera, percaya semua tekanan dalam persaingan merebut gelaran Liga Perdana Inggeris berada di Manchester City berikutan perbelanjaan besar skuad itu selepas menamatkan kempen tanpa trofi pada musim lalu.

Usaha City setimpal setakat ini apabila mereka berada di tangga teratas liga dengan menghimpun 13 mata, menyumbat 16 gol dan hanya melepaskan dua gol sepanjang lima perlawanan.

Kelab itu menghabiskan lebih £200 juta (RM1.13 bilion) untuk pemain baru pada musim ini, dengan Benjamin Mendy, Bernardo Silva, Kyle Walker, Ederson dan Danilo antara faktor perbelanjaan besar itu.

Dan Herrera berasakan bahawa urusan perpindahan City membuatkan mereka menjadi pasukan pilihan untuk meraih gelaran pada musim ini, sekaligus turut memberikan tekanan kepada mereka, dan bukannya United.

"Kami memenangi tiga gelaran pada musim lalu (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) dan City tidak memenangi apa-apa," kata Herrera kepada wartawan.

"Mereka berada dalam tekanan, mereka terikat untuk memenangi sesuatu. Mereka lebih terbeban berbanding kami.

"City telah berbelanja dengan jumlah terbesar dalam Liga Perdana sehingga mereka menjadi pesaing utama untuk meraih gelaran.

"Kami juga mempunyai kualiti tetapi kerana wang yang mereka belanjakan, mereka adalah pasukan pilihan.

"Kami akan cuba untuk berada di sana. Terdapat tekanan apabila anda menghabiskan banyak wang tetapi ada juga tekanan kepada kami kerana kami adalah kelab terbesar di England.

"Tetapi apabila anda bermain di United, anda terikat untuk memenangi sesuatu dan saya sukakan perkara itu."