MANCHESTER CITY 3 MANCHESTER UNITED 1

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji barisan pemainnya selepas mengatasi ketakutan mereka ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Manchester United, awal pagi tadi.


Jaringan Ilkay Gundogan pada minit ke-86 meleburkan sebarang ulangan aksi dramatik yang berlaku April lalu apabila United bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk meraih kemenangan 3-2.

City membuka jaringan menerusi David Silva sebelum Sergio Aguero menggandakan jaringan di Stadium Etihad manakala Anthony Martial memberikan nafas buat United bangkit menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berjaya mengatasi igauan mereka untuk memiliki kelebihan 12 mata ke atas skuad kendalian Jose Mourinho itu.

"Pemain-pemain mahu bermain dengan baik di hadapan penyokong mereka. Kami menyedari betapa pentingnya perlawanan ini berdepan United," kata Guardiola.

"Kami tidak boleh melupakan sejarah bahawa kami sentiasa di belakang United.

"Ia amat mudah difahami, terutama dalam situasi yang berlaku pada musim lalu, tetapi kami bertindak dengan cemerlang dan jaringan Aguero membenarkan kami bermain dengan lebih baik.

"Dalam separuh masa pertama, kami bermain dengan ketakutan. Kami tidak mahu kehilangan bola tetapi kami tidak menyerang dengan cara yang terbaik. United telah bertahan dengan baik dan tidak memberikan banyak ruang kepada City.

"Saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini, kami telah berjaya mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan yang penting."

Kemenangan itu membenarkan City kembali mendahului carta liga selepas Liverpool memintas mereka seketika selepas menewaskan Fulham 2-0.