Manchester City berkeyakinan tinggi dalam hasratnya untuk mengekalkan rekod tanpa kalah menjelang aksi menentang West Brom dalam Piala EFL di The Hawthorns awal pagi nanti, menurut Fabian Delph.

Skuad Pep Guardiola memenangi lima perlawanan dan seri satu dalam semua pertandingan setakat musim ini, termasuk menjaringkan 15 gol tanpa balas dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Bekas bos Barcelona itu mungkin memilih untuk membuat perubahan dalam kunjungan ke The Hawthorns, dengan Delph percaya skuad "luar biasa" City mempunyai banyak pilihan pemain.

Pemain tengah itu sedia beraksi dalam kesebelasan utama buat julung kalinya dalam Liga Perdana Inggeris selepas hanya berehat ketika City menewaskan 4-0 Feyenoord dalam Liga Juara-Juara.

"Suasana adalah seperti yang anda bayangkan -- ia hebat apabila semua pemain kini berkeyakinan tinggi," kata Delph kepada CityTV.

"Pemain baru yang masuk menakjubkan dan kami beraksi baik sebagai satu pasukan.

"Perlawanan esok mungkin akan menawarkan aksi yang baik untuk peminat, rehat yang cukup dan beberapa pemain yang belum bermain akan mendapat peluang untuk beraksi.

"Ia adalah skuad yang hebat -- kami mempunyai dua pemain untuk setiap posisi.

"Ia sangat baik. Ia sentiasa membantu skuad dan memberikan anda peluang untuk membuat pertukaran dan memberikan masa untuk pemain berehat."

Selepas menghadapi West Brom dalam pusingan ketiga Piala EFL, City akan melayan kunjungan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini.