MANCHESTER CITY 3 BURNLEY 0

Manchester City terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2017/18 selepas menewaskan Burnley 3-0 dalam aksi di Etihad, malam tadi.


Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola itu terus mengekalkan rekod bersih selepas sembilan perlawanan, merakamkan 32 gol dan hanya bolos empat kali.

Penyerang Argentina yang baru pulih daripada kecederaan tulang rusuk, Sergio Aguero, memberikan pendahuluan buat City menerusi sepakan penalti selepas Bernardo Silva dijatuhkan penjaga gol muda, Nick Pope.

Gol itu membolehkan Aguero kini berkongsi 177 jaringan dengan Eric Brook untuk muncul selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Citizens.

Aguero berpeluang menambah jumlah itu pada minit ke-42 apabila menerima umpanan Kevin de Bruyne, namun rembatan leretnya dikuis keluar oleh Pope untuk menamatkan separuh masa pertama dengan pendahuluan 1-0.

Bersambung dalam babak kedua, Burnley cuba menyusun serangan untuk menyamakan kedudukan tetapi dakwaan Jack Cork yang bola terkena tangan Fernandinho pada minit ke-52 menyebabkannya dilayangkan kad kuning setelah bertelingkah dengan pengadil.

Sebaliknya, anak-anak buah Guardiola berjaya menjarakkan kedudukan pada minit ke-73 selepas rakan sepasukan Aguero dalam skuad kebangsaan, Nicolas Otamendi, melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Leroy Sane.

Belum sempat Burnley menarik nafas, giliran Sane menambah jaringan ketiga buat City menerusi satu serangan balas dan lorongan bola yang diterima dari De Bruyne itu mudah disempurnakan oleh pemain kebangsaan Jerman itu.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat aksi di Etihad, membolehkan City kini selesa di puncak liga dan dibezakan lima mata dengan skuad di tangga kedua, Manchester United, selepas pasukan jiran itu tewas buat pertama kali musim ini di tangan Huddersfield Town.