Chelsea menyerapkan pemain tengah bereputasi besar, Billy Gilmour, secara tetap ke dalam pasukan utama mereka.

Gilmour, 18, telah melakukan lima penampilan dalam skuad senior Chelsea musim ini tetapi kerap diturunkan dalam skuad B-23 kelab itu.

Bagaimanapun, pemain skuad remaja Scotland itu telah membuktikan bahawa dia mempunyai potensi besar untuk diketengahkan barisan kejurulatihan kelab itu sebelum dipilih untuk menyertai pasukan utama secara tetap.

Pengurus, Frank Lampard, menerima pujian kerana pendekatannya yang gemar menggunakan pemain muda dan Gilmour pula diakui sebagai prospek paling cerah buat pasukan itu.

"Ia momen paling besar dan saya amat gembira," kata Gilmour dalam laman web rasmi pasukannya.

"Saya menyertai skuad ini ke Leicester dan walaupun tidak terlibat dalam perlawanan itu, pengurus menarik saya dan memberitahu bahawa saya akan menyertai skuad utama secara tetap selepas waktu rehat musim sejuk ini.

"Ia impian menjadi kenyataan buat saya.

"Ia langkah besar pertama, masuk ke dalam bilik persalinan pasukan utama kelab seperti Chelsea.

"Ia amat besar buat saya.

"Mengetahui bahawa pengurus mempercayai anda juga sesuatu yang besar.

"Ia memberikan saya keyakinan apabila saya menjejakkan kaki di padang.

"Amat bagus untuk mengetahui bahawa dia mempercayai anda dan menggemari cara permainan anda.

"Saya fikir semua orang juga akan berasa begitu.

"Umur bukanlah satu isu.

"Pengurus telah menunjukkan bahawa sekiranya anda berusaha keras dan beraksi baik, anda akan mendapat peluang.

"Harap-harap saya dapat meneruskannya dan berusaha keras dalam latihan setiap hari," katanya.

Chelsea akan menantikan kunjungan Manchester United bagi aksi Liga Perdana Inggeris, Isnin ini.



Editor: Muzaffar Musa