Chelsea menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bahawa mereka telah melanggar peraturan perpindahan dan akan membuat rayuan terhadap larangan merekrut pemain dalam dua jendela perpindahan.

Jawatankuasa Disiplin FIFA menjatuhkan hukuman itu semalam selepas mengesan 29 kes melibatkan kelab itu melanggar peraturan Artikel 19 yang berkaitan dengan perpindahan dan pendaftaran pemain antarabangsa di bawah usia 18 tahun.

Penyiasatan itu pada mulanya berkaitan dengan 92 pemain.

The Blues diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan mendaftarkan muka baru dalam dua perpindahan seterusnya serta didenda 600,000 Swiss Franc (RM2.4 juta).

Bagaimanapun, kelab berkenaan telah mengkritik penemuan FIFA itu dalam satu kenyataan yang mengumumkan niat mereka untuk merayu keputusan itu sambil melahirkan kekecewaan yang mendalam.

"Chelsea FC menafikan sekeras-kerasnya penemuan Jawatankuasa Disiplin FIFA itu dan sehubungan itu akan membuat rayuan," kata kenyataan itu.

"Kelab ini ingin menekankan bahawa kami menghormati tugas yang dilakukan oleh FIFA berhubung perlindungan terhadap pemain di bawah umur dan telah bekerjasama sepenuhnya dengan FIFA sepanjang proses penyiasatan ini.

"Pada mulanya, Chelsea FC didakwa di bawah Artikel 19.1 dan 19.3 berhubung 92 pemain.

"Kami mengalu-alukan hakikat bahawa FIFA telah mengesahkan tiada pelanggaran peraturan terhadap 63 pemain itu, namun kami sangat kecewa kerana FIFA menolak dokumen yang diserahkan kelab berhubung baki 29 pemain.

"Chelsea FC telah bertindak mengikut peraturan yang berkaitan dan akan segera mengemukakan rayuan kepada FIFA."

Barcelona pernah dikenakan larangan perpindahan serupa pada 2014 dan rayuan itu ditolak pada tahun berikutnya.

Luis Suarez, Ivan Rakitic, Jeremy Mathieu, Claudio Bravo dan Marc-Andre ter Stegen kesemuanya ditandatangani sebelum hukuman itu mula berkuatkuasa.