Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, belum mahu merehatkan Jorginho yang keletihan kerana percaya pasukannya belum bersedia untuk menghadapi perubahan taktikal tanpa pemain tengah itu.

Pemain kebangsaan Itali itu hanya terlepas satu perlawanan Liga Perdana Inggeris dan secara keseluruhan telah melakukan 25 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini.

Pemergian Cesc Fabregas ke Monaco telah mengakibatkan Chelsea kekurangan bakat semula jadi di posisi itu dan Sarri mengakui bebanan tugas yang terlampau telah mula dirasai pemain perancangnya, Jorginho.

The Blues kini dikhabarkan sedang memburu tonggak Zenit Saint Petersburg, Leandro Paredes, bagi mengurangkan beban Jorginho, namun buat masa ini, pemain berusia 27 tahun itu perlu mengerah segala keringat sebaik mungkin.

"Kami belum bersedia untuk melakukan perubahan.

"Saya hanya dapat melakukannya apabila pasukan ini menjadi seperti yang saya inginkan.

"Apabila kami menggunakan formasi 4-3-3, kami memaparkan aksi terbaik.

"Kami mungkin akan mengubahnya tetapi tidak buat masa ini.

"Amat sukar untuk dihitung dengan menggunakan peratusan, namun di England, terlalu sukar untuk setiap pasukan mengekalkan prestasi terbaik.

"Minggu ini merupakan minggu pertama tanpa tiga perlawanan sejak Ogos lalu.

"Jadi, ia merupakan kali pertama kami memperoleh peluang untuk memperbaiki pasukan sejak empat bulan lalu.

"Ia amat sukar untuk kami memperbaikinya dalam tempoh yang sesingkat ini.

"Jorginho telah bersama saya selama empat musim.

"Amat sukar untuknya meningkat lebih daripada itu.

"Jika saya tidak silap, dia telah bermain baik dalam 20 perlawanan musim ini.

"Dia kelihatan letih dalam dua perlawanan lalu dan telah mula kelihatan perlahan.

"Namun, ia adalah normal bagi saya.

"Anda tidak boleh mengekalkan prestasi terbaik dalam 60 perlawanan.

"Adakalanya anda akan keletihan dan ia sesuatu yang normal.

"Kadangkala dia tidak dapat bermain seperti biasa dan disebabkan itu, saya perlu segera mencari pengganti Cesc," katanya.