Cech sertai pasukan hoki ais 

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2019
Cech sertai pasukan hoki ais 
Bekas penjaga gol Chelsea dan Arsenal, Petr Cech, menandatangani kontrak dengan pasukan hoki ais, Guildford Phoenix.

Pemain berusia 37 tahun itu menamatkan kerjaya bola sepaknya selepas membuat penampilan terakhirnya ketika The Gunners gagal menjulang Liga Europa selepas tewas 1-4 kepada Chelsea dalam perlawanan akhir, Mei lalu.

Cech, bagaimanapun, tidak membuang masa untuk kembali ke kancah sukan kompetitif apabila bersetuju membuat kemunculan sulung di samping Guildford Phoenix.

Bercakap kepada laman sesawang rasmi kelab barunya itu, bekas tonggak Republik Czech tersebut berkata: "Saya gembira kerana berpeluang untuk mewakili Phoenix demi meraih pengalaman.

"Saya harap saya dapat membantu pasukan muda ini mencapai matlamat mereka musim ini dan cuba memenangi sebanyak mungkin perlawanan ketika berpeluang beraksi. 

"Selepas 20 tahun berkecimpung dalam bola sepak profesional, ini akan menjadi satu pengalaman hebat buat saya untuk beraksi dalam sukan yang gemar saya tonton dan jenis sukan yang saya mainkan ketika zaman kanak-kanak."

Ketua jurulatih, Andy Hemmings, pula menambah: "Petr telah menandatangani kontrak dengan Phoenix, dia seorang yang hebat. Dia berlatih dengan gigih dan saya tidak sabar-sabar lagi untuk melihatnya membuat kemunculan pertama."

Pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak empat kali dan juara Liga Juara-Juara (UCL) sekali dengan Chelsea itu merupakan pemain paling banyak pernah mewakili Republik Czech, iaitu sebanyak 124 kali. 

Selama empat tahun dengan Arsenal setelah meninggalkan Stamford Bridge, dia turut memenangi Piala FA. 

Selepas bersara, Cech menyertai semula Chelsea dan sempat menyandang jawatan sebagai penasihat teknikal.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen