Penjaga gol Arsenal, Petr Cech, mengumumkan akan bersara pada penghujung musim ini.

Musim ini, pemain berusia 36 tahun itu kehilangan tempatnya di Stadium Emirates kepada Bernd Leno dan selepas mengharungi karier selama 20 tahun, dia memilih untuk bersara.

Dalam satu kenyataan di Twitter, dia menulis: "Ini adalah musim ke-20 saya sebagai pemain profesional dan sudah 20 tahun berlalu sejak saya menandatangani kontrak profesional sulung saya. Jadi, rasanya ini adalah masa yang tepat untuk mengumumkan bahawa saya akan bersara pada akhir musim ini.

"Setelah beraksi selama 15 tahun dalam kancah Liga Perdana dan memenangi setiap kejuaraan, saya berasakan telah mencapai apa yang diidamkan.

"Saya akan terus bekerja keras di Arsenal dengan harapan dapat memenangi satu lagi trofi musim ini, maka saya tidak sabar-sabar untuk melihat apa yang bakal saya tempuhi selepas bersara nanti."

Cech memulakan kerjayanya di Chmel Blsany, Republik Czech, dengan mempamerkan persembahan mengagumkan untuk menerima tawaran gergasi domestik, Sparta Prague, dan kemudian berpindah ke Rennes.

Prestasinya dalam Ligue 1 mendorong Chelsea untuk mencapai persetujuan dengannya pada Februari 2004 sebelum berpindah ke England pada akhir musim 2003-04.

Dia dengan pantas mengukuhkan posisinya selaku penjaga gawang nombor satu Chelsea selain memenangi empat gelaran Liga Perdana di Stamford Bridge.

Satu-satunya kecacatan sepanjang kerjayanya di Chelsea ialah tragedi Oktober 2006 yang menyaksikan dia bertembung dengan pemain Reading, Stephen Hunt, sehingga membuatkan tengkoraknya retak dan diketepikan selama tiga bulan.

Dia kembali dengan menyarung kelengkapan perlindungan di kepalanya bagi tujuan keselamatan -- sesuatu yang dipakainya sepanjang kariernya selepas itu.

Dengan Thibaut Courtois mengambil alih peranan utama di Chelsea untuk permulaan musim 2015-16, Cech memilih untuk berpindah ke seteru London, Arsenal, dengan bayaran £10 juta (RM52.7j).

Dia memenangi Piala FA di bawah bimbingan Arsene Wenger pada 2017 tetapi bergelut untuk mengulangi aksi dominan yang ditunjukkannya ketika di Chelsea serta ketika mewakili Republik Czech sebanyak 124 kali.