Perancang Arsenal, Santi Cazorla, disahkan akan meninggalkan skuad Liga Perdana Inggeris itu sebaik sahaja kontraknya bersama pasukan London itu tamat.

Pemain berusia 33 tahun dari Sepanyol itu kali terakhir beraksi bersama The Gunners pada Oktober 2016 selepas mengalami kecederaan panjang, termasuk menjalani pembedahan.

Dia berdepan risiko dipotong kaki selepas mengalami jangkitan, namun akhirnya kembali menyertai latihan bersama pasukan sebelum berakhirnya saingan musim ini.

Selepas menyertai Arsenal dari Malaga pada 2012, dia melakukan 180 penampilan buat Arsenal dan menjaringkan 29 gol serta memenangi dua Piala FA.

"Saya amat sedih untuk meninggalkan pasukan selepas melalui tempoh yang hebat. Saya sayangkan setiap waktu bersama Arsenal dan akan sentiasa mengingati detik indah kami," kata Cazorla melalui laman web rasmi pasukan.

"Kemenangan Piala FA pada 2014 adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan. Ia adalah waktu terbaik buat saya dan kelab.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana anda sentiasa memberikan sokongan istimewa dan amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini," katanya.

Dalam masa sama, Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis, turut memuji pemain tengah itu.

"Cazorla adalah salah seorang pemain kegemaran yang saya suka untuk tonton. Kebolehannya menggunakan kedua-dua belah kaki, kepantasan dalam berfikir serta pergerakan yang tepat sentiasa menjadi faktor kepada kecemerlangan pasukan kebelakangan ini.

"Dia sentiasa menikmati aksi permainan. Kami mengucapkan selamat maju jaya untuknya di masa akan datang dan terima kasih atas segala sumbangan buat pasukan," ujar Gazidis.