Michael Carrick menolak cadangan barisan pemain Manchester United tidak berusaha untuk meningkatkan prestasi pasukan.

Rentetan empat aksi tanpa kemenangan dalam semua kejohanan diakhiri dengan penuh dramatik pada 6 Oktober lalu apabila United bangkit daripada ketinggalan 2-0 sebelum menewaskan Newcastle United 3-2 di Old Trafford.

Kemenangan itu turut diikuti dengan kritikan terhadap skuad kendalian Jose Mourinho itu daripada bekas bintang pasukan seperti Rio Ferdinand dan Paul Scholes, dengan kedua-duanya mendakwa pemain-pemain United tidak menampilkan persembahan terbaik mereka.

Carrick, yang menjadi penolong Mourinho sebelum bermula musim ini, menolak dakwaan tersebut.

"Sebagai pemain United, mereka berdepan tekanan yang tinggi. Setiap kali mereka gagal menampilkan persembahan berkualiti, mereka dinilai dan dikritik hebat," katanya.

"Mereka adalah manusia yang melakukan kesilapan. Mereka telah berusaha dengan sebaik mungkin," ujarnya.

Carrick, yang turut menjelaskan peranannya di bawah bimbingan Mourinho melibatkan membantu pengurus Portugis itu dalam membuat perancangan sesi latihan dan perlawanan, memuji bekas pengendali Chelsea itu di atas tunjuk ajar dalam bidang pengurusan.

"Saya menyokong Mouriho. Saya tiba bersama pasukan setiap hari pada jam 8.15 pagi membantunya untuk melakukan perancangan sesi latihan atau persiapan menghadapi perlawanan.

"Beliau banyak membantu saya. Ini merupakan kerja pertama saya selepas bola sepak, jadi saya sedang memperoleh banyak pengalaman baru yang perlu dihadamkan."

United akan kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Chelsea, Sabtu ini.