Emre Can percaya bahawa rakan sepasukannya di Liverpool, Philippe Coutinho, merupakan salah seorang pemain terbaik dunia buat masa ini, namun menolak bahawa kem The Kop akan terkesan dengan prospek perpindahan bintang Brazil itu ke Barcelona.

Coutinho telah menghantar permintaan untuk berpindah minggu lalu selepas pemilik kelab, Fenway Sports Group, mengumumkan mereka tidak akan mempertimbangkan sebarang bidaan terhadap pemain berusia 25 tahun itu.

Dia tersisih daripada skuad Jurgen Klopp dalam aksi play-off Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Hoffenheim semalam kerana mengalami kecederaan belakang.

“Saya rasa perkara itu tidak menjadi masalah kerana tiada siapa berbicara tentangnya,” kata Can, mengulas mengenai situasi Coutinho.

“Sudah tentu jika dia kekal, semua orang di kelab akan gembira. Bagi saya, dia salah seorang pemain terbaik dunia.

“Jika dia pergi, kami akan mengucapkan selamat maju jaya dan semua pemain di Liverpool akan memulakannya semula,” tambahnya.

Coutinho menjaringkan 13 gol menerusi 31 penampilan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.