Emre Can menegaskan dia memberikan komitmen penuh kepada Liverpool hingga penghujung musim ini di sebalik spekulasi mengenai perpindahannya ke Itali bersama Juventus.

Kontrak pemain kebangsaan Jerman itu akan berakhir pada penghujung musim 2017-18 dan masih tiada lagi perbincangan mengenai masa depannya untuk kekal di Anfield.

Pengarah Juve, Giuseppe Marotta, mengesahkan minggu ini bahawa juara Serie A itu mahu mendapatkan khidmat Can, yang dibenarkan untuk mendapatkan persetujuan dengan kelab di luar daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Walaupun masanya di Anfield semakin tiba ke penghujungnya, Can menjelaskan dirinya akan terus membantu Liverpool mencapai sasaran bagi musim ini.

"Saya masih memiliki kontrak bersama kelab hingga penghujung musim ini," katanya.

"Saya memberikan segala-galanya untuk kelab dan akan terus melakukan sedemikian.

"Segala-galanya terletak kepada ejen saya. Tugas utama saya adalah beraksi cemerlang di atas padang."

Can telah beraksi dalam 18 perlawanan musim ini dan menjaringkan satu gol.