Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, tetap berharap agar dapat menggunakan khidmat Emre Can dan Joe Gomez bagi aksi final Liga Juara-Juara Eropah.

Can mengalami kecederaan belakang sewaktu membantu pasukan menundukkan Watford pada 17 Mac lalu sementara Gomez mengalami sedikit kesakitan pada kaki semasa diikat tanpa jaringan oleh Stoke City, minggu lalu.

Kedua-duanya tidak akan cergas untuk aksi liga berdepan Chelsea minggu ini tetapi kem The Kop tetap berharap agar perkembangan positif dapat ditunjukkan bagi membolehkan Can dan Gomez dipertimbang untuk aksi final menentang Real Madrid di Kiev pada 27 Mei ini.

“Apa yang saya tahu, tiada lagi isu kecederaan yang terbaru. Kami masih cergas. Adam Lallana berlatih bersama skuad utama semasa di Rome dan pagi keesokan harinya.

“Saya ada berhubung dengan Can. Kami boleh membuat keputusan pada Isnin ini sekiranya dia dapat menyertai latihan dengan pantas. Tentunya bagus jika dia kembali tetapi kemungkinan besar bukan untuk aksi terakhir pada musim ini.

“Mengenai Gomez, kami masih menunggu pengesahan. Kami akan tahu tentangnya beberapa hari lagi tetapi dia tidak akan beraksi bertemu Chelsea,” kata Klopp.

Pengurus dari Jerman itu juga memuji penampilan kapten, Jordan Henderson, dan James Milner dalam beberapa perlawanan terakhir tatkala Liverpool beraksi tanpa Can dan Alex Oxlade-Chamberlain di bahagian tengah.

“Anda tidak akan berada di posisi sekarang jika tiada kelibat seperti pemain-pemain ini. Mereka menonjol kerana masing-masing mempunyai kualiti tersendiri.

“Kami agak pincang di bahagian tengah dan mereka menjalankan tugas dengan baik. Bagaimanapun, saya tidak terkejut,” hujahnya lagi.