Kapten Chelsea, Gary Cahill, tidak berasakan dia perlu membuktikan apa-apa kepada kelab atau negara selepas kembali ke dalam kesebelasan utama Antonio Conte.

Pertahanan England itu adalah pilihan utama ketika Chelsea menjulang takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim 2016-17 tetapi bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik musim ini.

Pertahanan berusia 32 tahun itu merupakan pemain gantian yang diturunkan Conte ketika bertemu Manchester City, Manchester United, Tottenham dan Barcelona tetapi tampil ketika membantu pasukan meraih kemenangan 2-0 ke atas Southampton dalam aksi separuh akhir Piala FA di Wembley.

Cahill kini tampil dalam empat aksi bersama Chelsea sejak tewas kepada Spurs pada permulaan bulan ini.

"Saya bernasib baik kerana dapat tampil beraksi bersama kelab ini lagi. Saya menikmati kejayaan dan terlibat secara langsung bersama kelab -- bukan sahaja menjulang trofi tetapi terlibat secara menyeluruh.

"Selagi saya boleh berkhidmat untuk kelab ini, saya akan terus melakukannya. Tetapi segalanya terletak di tangan pengurus," ujarnya.