Burnley kecewa dinafikan kemenangan 

Oleh Staff Writer 25 Februari 2018 549
Burnley kecewa dinafikan kemenangan 
BURNLEY 1 SOUTHAMPTON 1

Sean Dyche mendakwa Burnley tidak diberi peluang untuk mengalahkan Southampton selepas gol Manolo Gabbiadini pada minit akhir mengakhiri permainan di Turf Moor dengan keputusan 1-1.


Dalam aksi Liga Perdana awal pagi tadi itu, pengurus Burley itu menggambarkan jaringan berkenaan -- tanpa kemenangan dalam 11 perlawanan berturut-turut -- sebagai "sukar untuk diterima" serta memperincikan beberapa peristiwa yang tidak memihak kepada The Clarets.

Tuan rumah di hadapan pada minit ke-67 apabila Ashley Barnes menanduk masuk peluang dari jarak dekat walaupun Dyche mendakwa anak buahnya terlebih dahulu dikasari. 

Southampton kemudian memasukkan Josh Sims, Sofiane Boufal dan Manolo Gabbiadini yang mencetuskan impak besar.

Dyche mendakwa pengadil, Robert Madley, menghalang pertahanan Burnley lalu memberi kesempatan kepada Southampton untuk meledak gol, malah pengurus itu juga berkata dia melihat satu kekasaran di dalam kawasan penalti yang membantu Gabbiadini untuk mencetak gol.

"Ini adalah salah satu daripada detik-detik yang anda tidak mahu berlaku dalam bola sepak," katanya kepada BBC Sport. "Pengadil menghalang laluan lalu memberikan mereka ruang untuk melancarkan serangan balas.

"Detik penghujung permainan juga sukar diterima. Kita semua tahu bagaimana jika seseorang pemain itu terjatuh.

"Pertahanan tengah kami hilang keseimbangan akibat penyerang lawan di mana tangannya sedang memaut jersi pemain kami, namun tiada sepakan percuma diberikan.

"Ashley Barnes dijatuhkan dalam kotak penalti pada lewat permainan -- namun, ia tidak diberikan. Dia sebenarnya ditolak dari belakang, kami langsung tidak diberikan penalti sepanjang musim ini."

Burnley kekal di tangga ketujuh, begitupun Dyche tetap kecewa dengan keputusan berkenaan setelah gagal meraih kemenangan sejak Disember lalu.

"Saya sedikit kecewa," katanya. "Kami boleh mengawal prestasi pemain dan kami bermain dengan baik hari ini.

"Ini adalah prestasi yang cukup mantap untuk meraih mata penuh sehingga saya dapat memahami mengapa peminat kecewa.

"Secara keseluruhannya, satu mata lagi dipungut dalam prestasi yang saya fikir adalah satu kemenangan, saya fikir usaha kami sudah cukup."

Pengurus Southampton, Mauricio Pellegrino, berpendapat pemainnya layak berkongsi mata dan memuji Boufal, yang diturunkan pada 15 minit terakhir di bahagian tengah.

"Saya fikir perlawanan ini sangat sengit," kata pengurus itu kepada BBC Solent Sport. "Dalam pertempuran fizikal ini, beberapa pasukan mungkin lebih kuat daripada kami tetapi saya fikir peluang paling jelas pada babak pertama adalah untuk kami."

Mengenai Oriol Romeu yang dikeluarkan pada minit ke-75, dia berkata: "Perubahan itu memberi impak besar dalam pasukan. Sofiane adalah pemain yang boleh mengubah permainan."

Keputusan itu melonjakkan Southampton dari zon penyingkiran tetapi Pellegrino mengakui bahawa pasukannya harus terus mencatat kemenangan andai berhasrat mengelakkan daripada tergelincir.

"Jika kami seri, maka kami perlu cuba memenangi perlawanan seterusnya dan mula memikirkan jalan keluar sedikit demi sedikit," tambahnya. 

"Secara jujurnya, kami tidak berpuas hati dengan keputusan ini."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen