Pasukan Manchester United tidak akan dibentuk semata-mata demi manfaat Paul Pogba, demikian tegas pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer.

Sejak kembali ke Old Trafford dengan perpindahan bernilai £89.3 juta (RM479.5j) daripada Juventus pada 2016, tajuk bualan mengenai cara terbaik untuk memanfaatkan bakat Pogba sering menjadi tumpuan tatkala United mengalami tempoh pasang dan surut.

Kekeruhan hubungannya dengan Jose Mourinho, awal musim ini, disusulinya dengan prestasi cemerlang sejak Solskjaer mengambil alih jawatan sebagai pengurus.

Bagaimanapun, seperti rakan sepasukannya yang lain, Pogba juga beberapa kali menampilkan rentak sumbang yang menyaksikan United tewas lima dan hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.

Laporan terbaru mengaitkan pemain berusia 26 tahun itu ke Real Madrid sehingga mengganggu fokusnya, begitupun Solskjaer tetap bertegas bahawa dia akan terus meminta Pogba supaya melaksanakan tugas yang berbeza bagi memenuhi tuntutan pasukan.

"Semua orang mempunyai pendapat tersendiri mengenai Paul. Kami ada duduk berbincang bersama-sama mengenai posisinya," katanya kepada pemberita.

"Kami tahu dia boleh bermain sebagai peranan jersi nombor 10 atau 6, kami tahu dia lebih senang beraksi di antara tiga pemain tengah -- di kedudukan lebih menyerang seperti yang dilakukannya sebaik kembali bersama kami dan seperti yang dilakukannya bersama Juventus.

"Untuk pasukan Perancis, dia dikerah sebagai salah seorang pemain tengah di depan pertahanan atau digandingkan dengan N'Golo Kante.

"Itulah perkara yang hebat tentang Paul. Dia mampu melakukan kedua-duanya dan apa yang perlu kami lakukan adalah menyesuaikan pemain dengan sesuatu perlawanan, apa yang dituntut dalam perlawanan itu."

United mahukan tiga mata di Goodison Park dalam aksi liga malam ini untuk mencerahkan laluan mereka menduduki kelompok empat pasukan teratas.

Sentuhan Pogba akan ditagih sepenuhnya menjelang pertemuan 'derby' di antara United dan City di Old Trafford, Khamis depan, disusuli aksi berdepan Chelsea tiga harian kemudian.

"Sesetengah perlawanan memerlukan Paul untuk lebih bertahan, kadang-kadang dia lebih diperlukan untuk menjana serangan," tambah Solskjaer.

"Anda dapat melihat ketika ini pasukan lawan mula memikirkan peranan Paul dan cuba menyekatnya.

"Dia tiada bezanya dengan pemain lain kerana kami hanya mengubah sedikit kedudukannya demi kepentingan pasukan."