Alvara Morata memohon maaf terhadap reaksi berangnya kerana digantikan dalam kemenangan 2-1 Chelsea ke atas Burnley dalam Liga Perdana di Turf Moor, awal pagi tadi.

Morata dikeluarkan ketika perlawanan berbaki 19 minit untuk membuka peluang kepada Eden Hazard yang pada awalnya direhatkan bagi menghadapi Southampton dalam separuh akhir Piala FA di Wembley, Isnin ini.

Pengurus The Blues, Antonio Conte, jarang menggandingkan Morata dengan Olivier Giroud di bahagian depan dan kedua-duanya memberi kesukaran kepada skuad Sean Dyche itu yang mencatat lima kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Morata terlepas peluang ketika berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol -- ulangan perlawanan menunjukkan Nick Pope mungkin berjaya menepis keluar -- dan ternyata arahan untuk keluar sangat mengecewakannya apabila dilihat menendang bangku, melempar kasut dan pengalas keting.

Dan selepas perlawanan, pemain antarabangsa Sepanyol itu menulis di Twitter menyatakan kekesalannya mengenai reaksi itu.

Dia menulis: "Tiga mata penting bagi kami. Cara terbaik untuk bersiap ke perlawanan Ahad ini adalah kemenangan hari ini.

"Saya mahu memohon maaf di atas reaksi saya apabila saya dihantar ke bangku simpanan. Apabila saya gagal, saya sangat marah dengan diri saya sendiri."

Conte, bagaimanapun, berkata dia memahami mengapa Morata -- yang hanya menjaringkan satu gol dalam Liga Perdana pada 2018 -- tersinggung.

"Alvaro mesti marah, kerana apabila kamu mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, kamu perlu menyudahkannya dan ia dapat mengubah keyakinan kamu," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Dia marah dengan dirinya sendiri kerana terlepas peluang itu. Tetapi saya perlu melihat keseluruhan prestasinya dan tidak mungkin pada masa lalu kami boleh bermain dengan dua penyerang.

"Sekitar 70 minit saya fikir lebih baik menggunakan kekuatan segar dengan Hazard. Dia adalah pemain yang mempunyai karakter berbeza berbanding Morata. Saya gembira kerana persembahan mereka, mereka bermain dengan baik."