Bintang Manchester City dan Portugal, Bernardo Silva, berpotensi memenangi Ballon d'Or sejurus Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo mula menunjukkan tanda-tanda penurunan prestasi atau bersara, kata bekas bintang Selecao, Paulo Futre.

Silva terbabit dalam 51 perlawanan bersama City untuk mengungguli kancah domestik di England dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kelab oleh penyokong, musim lalu.

Setelah turut membantu Portugal merakam kejayaan dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah, awal bulan ini, pemain berusia 24 tahun itu dilabel Futre sebagai bintang utama seterusnya selepas Messi dan Ronaldo yang kini mencecah usia 32 dan 34 tahun.

Futre, yang pernah mewakili Portugal sebanyak 41 kali selain menjadi tonggak Porto, Atletico Madrid dan AC Milan di peringkat kelab, memberitahu Omnisport: "Saya menganggap Bernardo akan menjadi bintang dunia yang berikutnya, atau dia akan menjadi (pemain terbaik dunia) ketika prestasi Ronaldo dan Messi mula menurun.

"Saya berasakan Bernardo akan menjadi salah seorang calon berpotensi untuk memenangi Ballon d'Or. Ini kerana dia merupakan pemain yang menggalas tanggungjawab besar dalam pasukan hebat seperti Manchester City.

"Dia akan terus berkembang dan dalam masa dua atau tiga tahun lagi, apabila Messi dan Cristiano bersara, saya rasa dia berupaya menjadi salah seorang pemain pilihan untuk memenangi Ballon d'Or," tambahnya.

Disember lalu, pemain tengah Real Madrid, Luka Modric, mengakhiri penguasaan sedekad Messi dan Ronaldo dalam majlis anugerah Ballon d'Or.