Berbatov saran United kekalkan Lukaku

Oleh Staff Writer 20 Julai 2019 1108
Berbatov saran United kekalkan Lukaku
Dimitar Berbatov berasakan kritikan terhadap penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, sebagai sesuatu yang tidak adil sambil berharap pemain kebangsaan Belgium itu akan kekal di Old Trafford.

Lukaku menyertai United daripada Everton dengan perjanjian bernilai £75 juta (RM385.3 juta) pada 2017 dan telah menjaringkan 28 gol daripada 66 perlawanan Liga Perdana.

Namun, prestasinya kerap kali mendatangkan kritikan.

Bekas pemain Chelsea itu sedang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Milan ketika pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer, sedang memperkuatkan pasukan bagi menghadapi musim baru.

Namun, Berbatov, yang pernah beraksi selama empat tahun bersama United di bawah kendalian Alex Ferguson, mahu menyaksikan Lukaku kekal dalam pasukan itu.

"Saya harap Lukaku akan kekal kerana dia pemain yang bagus dan kritikan yang diterimanya adalah tidak adil," katanya kepada Straits Times.

Bagaimanapun, Berbatov percaya United mampu menampung kehilangan Lukaku sambil mengharapkan Anthony Martial dan Marcus Rashford akan beraksi dalam musim yang hebat.

"Saya tenang kerana saya amat sukakan Martial.

"Saya pernah beraksi dengannya di Monaco dan saya tahu dia amat bagus dan masih boleh meningkat.

"Saya juga sukakan Rashford. Dia boleh berkembang dan menjadi lebih baik," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen