Eden Hazard berkata dia tidak akan meninggalkan Chelsea pada Januari depan tetapi mahu beraksi dalam LaLiga bagi meningkatkan peluangnya untuk memenangi Ballon d'Or.

Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo berkongsi anugerah itu sejak sedekad lalu dan tahun ini, pemain tengah Croatia, Luka Modric, merupakan pilihan untuk memenanginya.

Hazard turut tersenarai selepas melakukan permulaan cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan mendahului saingan Kasut Emas dengan tujuh gol.

Tetapi pemain berusia 27 tahun itu memasuki tahun terakhir kontraknya bersama Chelsea, menyaksikan Tthe Blues dalam kedudukan yang sama ketika menjual Thibaut Courtois ke Real Madrid sebelum musim ini bermula.

Hazard mendedahkan keinginannya untuk bermain bersama juara Eropah itu sejak beberapa minggu lalu dan bersetuju harapannya untuk memenangi Ballon d'Or akan meningkat jika beraksi di Sepanyol.

"Ia adalah sebab mengapa saya mahu beraksi di sana," kata Hazard.

Bagaimanapun, apabila ditanya jika dia bersedia meninggalkan Stamford Bridge pada Januari, Hazard menjawab, "Tidak."

Hazard berasakan dia masih mampu memperkembangkan permainannya dan membantu Chelsea dalam EPL.

"Anda sentiasa mampu berkembang dalam bola sepak. Kami boleh menjaringkan lebih banyak gol, membantu pasukan dan saya pasti mampu melakukannya.

"Saya berada pada tahap terbaik. Saya berharap dapat kekal untuk jangka masa panjang."

Hazard ketika ini memiliki tugas bersama Belgium yang bakal berdepan Switzerland dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi esok.