Penyerang Crystal Palace, Christian Benteke, menegaskan dia sangat gembira bersama The Eagles walaupun terdapat laporan yang menyatakan Everton mahu membawanya ke Goodison Park.

Benteke, yang telah menjaringkan 15 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris buat Palace, dilihat sebagai sasaran Everton yang mencari pengganti Romelu Lukaku yang telah menyertai Manchester United dengan nilai perpindahan GBP75 juta (RM417 juta).

Everton dilihat sebagai pasukan yang paling aktif dalam jendela perpindahan -- The Toffees kini sudah menandatangani Wayne Rooney, Jordan Pickford, Michael Keane dan Davy Klaassen.

Tetapi Benteke tidak bercadang untuk menyertai skuad kendalian Ronald Koeman dan mahu kekal bersama Palace yang kini dikendalikan oleh Frank de Boer.

"Saya sangat gembira," kata Benteke.

"Saya mahu menjadi sebahagian daripada perancangan pengurus baru pasukan dan tidak sabar untuk menghadapi musim hadapan.

"Saya mahu cuba memberikan yang terbaik, menjaringkan banyak gol dan membantu pasukan untuk mencapai sasaran."