Permulaan buruk Crystal Palace dalam saingan liga musim ini bertambah parah selepas penyerang utama, Christian Benteke, dilaporkan mengalami kecederaan ligamen lutut ketika menentang Manchester City.

Palace menjadi pasukan pertama di England yang tewas dalam enam perlawanan awal tanpa menjaringkan sebarang gol selepas dibelasah 5-0 oleh barisan cemerlang Manchester City kendalian Pep Guardiola.

Perkhabaran mengenai Benteke itu ternyata memberikan masalah besar buat pengendali, Roy Hodgson, apabila bakal bertandang ke Old Trafford menentang Manchester United sebelum bertemu skuad kendalian Antonio Conte, Chelsea, dalam aksi seterusnya.

"Dia tidak berada dalam keadaan bagus. Kami rasa ia adalah kerosakan pada bahagian ligamen dan tidak pasti sejauh mana seriusnya kecederaan tersebut.

"Dia akan melalui proses imbasan pada hari ini, bermaksud Benteke tidak akan beraksi dalam perlawanan seterusnya dan sudah pasti ia menyukarkan usaha kami," kata Hodgson.

Palace beraksi dengan baik sebelum gol mula dibolosi menerusi jaringan Leroy Sane dan pengendali berusia 70 tahun itu tidak menafikan berdepan cabaran sukar menentang United dan Chelsea, selepas ini.

"Agak teruk untuk bercakap dalam keadaan positif selepas anda tewas 0-5.

"Kami cuba untuk sekurang-kurangnya mengekalkan aksi separuh masa pertama dalam babak kedua tetapi saya akui, kami bermain menentang pasukan yang hebat.

"Apabila mereka mula mendahului, mereka menunjukkan kebolehan teknikal serta menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk menjaringkan gol.

"Malangnya, kami terpaksa berhadapan dengan United dan Chelsea selepas ini dan dua pasukan itu adalah pasukan yang sama seperti apa yang kami hadapi pada hari ini."