WOLVES 1 NEWCASTLE UNITED 1

Rafael Benitez berasakan Martin Dubravka memang patut dipersalahkan terhadap gol penyamaan Wolves ketika menentang Newcastle United, awal pagi tadi.


The Magpies sudah di ambang kemenangan di Molineux hasil jaringan Isaac Hayden tetapi pasukan kendalian Nuno Espirito Santo itu menyamakan kedudukan pada minit kelima masa kecederaan melalui Willy Boly.

Pertahanan tengah itu melonjak tinggi mengatasi Dubravka untuk menyambut hantaran lintang Adama Traore yang gagal ditangkap penjaga gol Newcastle itu sambil pengadil, Graham Scott, memutuskan tiada pelanggaran yang berlaku dalam proses gol itu.

Benitez kelihatan berang di bangku simpanan dan bertelagah dengan pembantu pengadil sejurus wisel penamat ditiupkan dan ketika ditemui selepas itu, beliau berasakan Newcastle sepatutnya bertahan dengan baik dan kegagalan Dubravka untuk mengeluarkan bola hantaran lintang itu mencetuskan masalah yang lebih berat.

"Semua orang tahu bahawa kami berpeluang memenangi tiga mata dan ia benar-benar mengecewakan untuk dibolosi dengan cara sedemikian," katanya kepada Sky Sports.

"Pihak lawan membuat tolakan dan kami sepatutnya boleh melakukan dengan lebih baik lagi. Dengan hantaran seperti itu, anda sepatutnya boleh menanganinya dengan lebih baik -- hanya tumbuk bola itu kemudian selesai.

"Ia tidak begitu jelas (mengenai rempuhan). Saya sudah menonton rakaman ulang tetapi kami sepatutnya bertahan dengan lebih baik, kami tahu di England dan pihak lawan akan merempuh penjaga gol," katanya.

Apabila ditanya tentang insiden bertegang urat dengan pengadil, Benitez berkata: "Saya tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan yang dibuat pengadil tetapi secara keseluruhan, saya fikir pengadil menjalankan tugasnya dengan baik, kami tidak boleh merungut mengenainya.

"Kami di ambang kemenangan, itulah bola sepak. Dalam kedua-dua perlawanan (menentang Wolves musim ini), kami tidak bernasib baik ketika berdepan sebuah pasukan yang mantap."

Keputusan itu melonjakkan Newcastle di atas zon penyingkiran dengan kelebihan satu mata dan Benitez gembira dengan rentak anak buahnya tetapi berasakan masih ada ruang untuk diperbaiki.

"Memandangkan anda menuju kemenangan pada minit-minit akhir, sudah tentulah saya tidak boleh bergembira dengan keputusan ini," katanya.

"Apa yang penting adalah pasukan ini dalam keadaan yang sungguh kukuh dan teratur. Terdapat banyak ruang untuk diperbaiki."