Pemain pertahanan Arsenal, Hector Bellerin, tidak berhajat untuk meninggalkan pasukan sebelum bermulanya saingan musim depan.

Pemain skuad kebangsaan Sepanyol itu dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Emirates sambil bekas pasukannya, Barcelona, Real Madrid, Manchester United dan Juventus, merupakan antara pasukan yang berminat dengan khidmatnya.

Bagaimanapun, Bellerin berkata dia akan melaporkan diri untuk persiapan pra-musim selepas aksi Piala Dunia dan tidak tidak memikirkan untuk berpindah.

“Saya memiliki kontrak panjang dan Piala Dunia bakal berlangsung pada musim panas ini. Saya tidak pasti akan dipanggil atau tidak dan ia sesuatu yang kita perlu tunggu dan lihat.

“Jika saya diberikan peluang, pastinya saya akan gembira. Selain daripada itu, saya pasti akan kembali untuk latihan pra-musim,” ujarnya.

Arsenal bakal menutup tirai musim ini dengan bertandang ke laman Huddersfield Town esok -- perlawanan terakhir buat Arsene Wenger sebelum secara rasmi meninggalkan pasukan.

Bellerin, yang menyertai The Gunners pada 2011, mengakui bahawa ia tentunya sesuatu yang pelik buat dirinya apabila beraksi tanpa kendalian Wenger.

“Saya hanya mengenali Arsenal dengan Wenger,” tambahnya.

“Saya dilahirkan setahun sebelum dia mengemudi Arsenal dan apabila saya datang ke sini, Wenger memainkan peranan besar untuk saya menandatangani bersama kelab ini.

“Wenger melayan saya seperti anaknya sendiri, memberikan saya peluang, menghormati saya dengan baik serta menasihati saya dengan bagus sepanjang karier saya di Arsenal.

“Selain daripada akan merinduinya sebagai pengurus, saya juga tidak akan melupakan Wenger sebagai seorang individu yang memiliki nilai tinggi selepas apa yang disumbangkannya untuk pasukan.”