Bekas pengurus Newcastle United, Alan Pardew, berasa sedih dengan kematian mengejut Cheick Tiote, yang rebah dalam sesi latihan bersama kelab China, Beijing Enterprises, malam tadi.

Pemain kebangsaan Ivory Coast itu pernah dibimbing Pardew selama empat musim di St James' Park apabila membantu kelab itu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga kelima dalam kempen musim 2012.

Tiote membuat 150 penampilan dalam tempoh enam setengah tahun di Newcastle dan Pardew mengeluarkan kenyataan penuh beremosi selepas mendapat perkhabaran pemain tengah itu meninggal dunia.

"Saya sangat sedih mendengar berita mengenai bekas pemain dan rakan saya, Cheick Tiote.

"Sebaik saya tiba di Newcastle, Cheick merupakan pemain yang menceriakan bilik persalinan dan persembahannya di atas padang menggambarkan keyakinan.

"Pada suatu ketika, dia perlu mengawal setiap inci padang dan tidak hairanlah kelab seperti Manchester United pernah dikaitkan dengannya.

"Kami tidak akan melupakan hari di mana Newcastle bangkit daripada ketinggalan 4-0 untuk mencatat keputusan seri dengan Arsenal apabila gol Cheick pada penghujung perlawanan merupakan salah satu daripada sejarah EPL.

"Saya sayangkannya. Dia pemain Newcastle yang lengkap. Dia mempunyai kualiti dan sudah tentu, anda tidak boleh merendahkan kenyataan bahawa dia mahukan kemenangan.

"Saya sukakan sikapnya itu, ia membuatkan anda dapat mengatasi halangan sebagai pemain. Pemain muda harus mencontohi pendekatannya dalam latihan dan perlawanan, dia merupakan pemain yang istimewa.

"Apabila mendapat perkhabaran bahawa dia meninggal dunia pada usia 30 tahun, ia meremukkan hati saya dan saya melahirkan simpati terhadap seluruh anggota keluarganya dan rakan-rakannya dengan berita menyedihkan ini.

"Kadang-kala hidup ini tidak adil dan saya akan mengingati Cheick sebagai pemain tengah gergasi yang gemar untuk menguasai. Tenanglah kamu di sana, sahabatku."

Tiote pernah memperkuatkan Anderlecht, Roda JC dan FC Twente selain pernah menjulang Piala Negara-Negara Afrika pada 2015 bersama Ivory Coast.