Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, berkata Barcelona mungkin mencuri Harry Kane daripada pasukannya.

Kane dikaitkan dengan perpindahan ke Barca selepas pasukan Catalan itu dikhabarkan mencari pengganti kepada penyerang mereka, Luiz Suarez.

Ia susulan kejayaan Kane meraih anugerah penjaring terbanyak Piala Dunia 2018 yang turut membantu England ke separuh akhir kejohanan itu.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde, menggambarkan Kane sebagai "luar biasa" menjelang pertemuan Liga Juara-Juara Eropah di antara kedua-dua kelab itu di Camp Nou, awal pagi nanti.

Kane telah menunjukkan minat untuk meninggalkan Spurs dan Pochettino menyedari kebanyakan bintang Liga Perdana Inggeris seperti Philippe Coutinho dan Cristiano Ronaldo sebelum ini, amat berminat untuk ke Sepanyol.

"Kami telah melihat banyak pasukan dalam LaLiga mahupun Liga Perdana Inggeris yang mempunyai kapasiti ekonomi yang baik untuk mencuri bintang utama dalam sesebuah kelab yang penting.

"Ia pernah berlaku sebelum ini.

"Real Madrid menandatangani Cristiano daripada Manchester United, Coutinho pula telah diambil daripada Liverpool.

"Ia mungkin berlaku dalam cara yang berbeza dan akan berlaku pada masa akan datang. Itu saya pasti.

"Namun, ia bukan sekadar bergantung kepada faktor ekonomi.

"Ia juga bergantung kepada aspirasi pemain itu sendiri.

"Adakalanya mereka membuat keputusan berdasarkan fakta dan ada ketika ia berdasarkan keadaan tertentu yang mendesak," katanya.

Spurs turut dikaitkan dengan bintang meningkat naik Barca, Riqui Puig.

Namun, Pochettino tidak berminat untuk mengulas perkara tersebut.

"Saya tidak berminat untuk mengulas mengenai khabar angin.

"Tentang Puig, saya tidak mahu bercakap mengenai pemain pelapis, ia tiada manfaat.

"Adalah lebih baik untuk saya tidak bercakap tentangnya," tambahnya.