Pierre-Emerick Aubameyang berasakan penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dalam Liga Perdana Inggeris bermakna penjaring gol tidak boleh meraikannya sehingga jaringan itu disahkan oleh teknologi berkenaan.

Penyerang itu menjaringkan gol penyamaan Arsenal ketika terikat 1-1 dengan Manchester United di Old Trafford awal pagi tadi, dengan memadamkan jaringan pembukaan Scott McTominay dalam babak pertama.

Pemain kebangsaan Gabon itu didapati berada di kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan, namun dia kekal bertenang untuk mengejar hantaran Bukayo Saka dan menewaskan penjaga gol United, David de Gea.

Jaringan itu menyaksikan Aubameyang menjadi pemain Arsenal pertama menjaringkan tujuh gol daripada tujuh perlawanan liga sejak Dennis Berkamp melakukannya dalam musim 1997-98.

Namun, dia perlu menunggu VAR menyanggah kuputusan penjaga garisan berkenaan dengan ulang tayang jelas menunjukkan kedudukan Harry Maguire meletakkannya di posisi yang tidak ofsaid selepas Axel Tuanzebe kehilangan bola.

"Bukayo melakukan hantaran yang amat baik, saya pasti saya tidak berada di posisi ofsaid," katanya kepada Sky Sports.

"Saya terkejut apabila terdengar pengadil meniup wisel tetapi saya sentiasa cuba untuk menjaringkan gol walaupun kedengaran bunyi wisel.

"Saya dapat dengar penonton mengatakan ia ofsaid tetapi ia amat sukar untuk ditentukan dan saya amat gembira.

"Ia sentiasa memberikan sedikit, saya tidak pasti... perasaan yang pelik.

"Anda tidak boleh meraikannya dengan 100 peratus tetapi tidak mengapa, kegembiraan saya tetap sama," katanya.

De Gea kelihatan menghentikan pergerakannya sebalik melihat penjaga garisan menaikkan bendera, namun tiada sebarang rungutan daripadanya mengenai keputusan VAR itu.

"Kita tahu akan penggunaan VAR.

"Jika ia ofsaid, ia tetap ofsaid, kami perlu kekal fokus dan ia merupakan jaringan mereka.

"Kami perlu belajar daripada kesilapan ini," katanya.