Penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, mengakui dia menyertai kelab itu kerana mengingatkan Arsene Wenger akan kekal sebagai pengurus untuk tempoh yang panjang.

Wenger, mengumumkan pada 20 April lalu bahawa beliau akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini dan dalam perlawanan yang ke-1,235 dan aksi terakhir kendaliannya menyaksikan Arsenal merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Huddersfield Town, Ahad lalu.

Aubameyang, yang menjaringkan gol di Stadium John Smith, gembira bekerjasama dengan pengendali berusia 68 tahun itu dan tidak menjangkakan beliau akan meninggalkan kelab berkenaan.

"Saya sangka Wenger akan kekal lama bersama Arsenal," kata Aubameyang.

"Saya sangat gembira berkhidmat untuk beliau. Banyak perkara yang dipelajari dalam tempoh yang singkat. Saya gembira berada di sini. Dalam aksi terakhir, ia merupakan sangat penting buat Wenger dan kami memastikan kemenangan berjaya diraih."

Penyerang kebangsaan Gabon itu meninggalkan Borussia Dortmund pada Januari lalu untuk berhijrah ke Stadium Emirate, bersama-sama Henrikh Mkhitaryan dari Manchester United dan Konstantinos Mavropanos (PAS Giannina).

Arsenal agal meraih sebarang trofi musim ini selepas tewas kepada Manchester City dalam aksi final Piala EFL dan tersingkir daripada saingan Liga Europa (UEL) kepada Atletico Madrid dalam pusingan separuh akhir.

Aubameyang, bagaimanapun, yakin dengan kualiti yang dimiliki pasukan untuk meraih gelaran di bawah kendalian pengurus baru.

"Pada mulanya agak sukar kerana secara fizikal, saya tidak bersedia.

"Selepas menjalani latihan bersama pasukan, saya kembali menemui sentuhan dan menjaringkan beberapa gol yang penting untuk pasukan.

"Kami bermain dengan ramai pemain muda. Ia adalah petanda masa depan yang cerah dan pasti kami mampu cemerlang pada musim depan," ujarnya.