Pierre-Emerick Aubameyang menjadi pemain Arsenal pertama dalam tempoh lebih tiga tahun untuk dinobatkan pemenang anugerah bulanan bagi Oktober, iaitu Pemain Terbaik Liga Perdana.

Penyerang Gabon itu mendaftarkan lima gol dan satu bantuan gol bulan lalu untuk membantunya mengetepikan saingan daripada Ross Barkley, Fernandinho, Anthony Martial, Mat Ryan dan Callum Wilson.

Dia muncul sebagai tonggak Gunners pertama untuk memenangi hadiah bulanan tersebut sejak Olivier Giroud melakukannya pada Mac 2015.

"Setiap hari, saya terus berusaha meningkatkan prestasi dan bekerja keras. Saya gembira berada dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan saya berusaha melakukan yang terbaik," kata pemain berusia 29 tahun itu.

"Kami perlu meneruskan pendekatan, saya berharap kami akan menamatkan saingan musim ini dalam kelompok empat teratas," katanya.

Pengurus Bournemouth, Eddie Howe, dinamakan Pengurus Terbaik bagi Oktober selepas pasukannya mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan.

Rentetan kemenangan mereka ke atas Crystal Palace, Watford dan Fulham tersekat hujung minggu lalu selepas tumbang 1-2 kepada Manchester United.

"Saya bernasib baik untuk berada di sini dengan kumpulan yang berdedikasi dan bekerja keras untuk memastikan para pemain berada di tahap kemampuan terbaik mereka," kata Howe. "Anugerah ini adalah untuk seluruh kelab dan saya sangat bangga dengan semua orang.

"Ia mengenai perpaduan dan bukan setakat pemain sahaja, malah seluruh kakitangan dan penyokong. Saya berasakan hubungan di dalam kelab semakin utuh.

"Kini, kami perlu memastikan bahawa kami terus berkembang dan ini adalah sesuatu yang boleh kami banggakan. Suasana dalam kalangan orang di kelab ini seperti sebuah keluarga.

"Kami perlu memastikan bahawa kami melindungi elemen itu, tidak kira apa jua yang berlaku."