ASTON VILLA 2 DERBY COUNTY 1

Aston Villa akan kembali menyertai Liga Perdana Inggeris musim depan -- buat kali pertama sejak tiga tahun lalu -- selepas menewaskan Derby County 2-1 dalam final pusingan 'play-off' di Stadium Wembley, malam tadi.


Skuad kendalian Dean Smith itu menguasai awal permainan untuk mengelak daripada kegagalan dalam final 'play-off' kedua berturut-turut mereka walaupun Derby melakukan asakan pada lewat permainan.

Kerapuhan benteng pertahanan The Rams turut menyumbang kepada kemenangan Villa dalam perlawanan yang ditaksirkan bernilai £170 juta (RM902.4 juta) buat pemenangnya.

Villa merupakan pasukan yang lebih memberikan ancaman dalam sebahagian besar babak pertama dan usaha itu berhasil apabila Anwar El Ghazi menghasilkan penyudah jarak dekat pada minit ke-44.

John McGinn kemudian menghukum kesilapan Kelle Roos sebelum sejam perlawanan yang sudah cukup untuk memberikan kemenangan buat Villa walaupun Martyn Waghorn menjaringkan gol pada minit ke-81 yang jelas sudah terlewat buat skuad kendalian Frank Lampard berkenaan.

Villa bermula dengan aksi meyakinkan dengan Axel Tuanzebe melakukan percubaan jarak jauh sambil usaha daripada Jack Grealish pula melewati palang gol.

Momentum itu semakin memuncak dengan percubaan daripada Tammy Abraham hampir menemui penjuru kanan atas gawang pelawat.

Usaha Villa akhirnya berbaloi apabila El Ghazi melonjak tinggi untuk menyudahkan hantaran lintang Ahmed Elmohamady sebelum menuju ke bilik persalinan.

Kualiti perlawanan menurun pada permulaan babak kedua dan penajaga gol Derby, Roos, melakukan kesilapan besar pada minit ke-59 selepas gagal menangkap bola yang sepatutnya terlalu mudah ditangkap untuk ditewaskan McGinn yang menanduk masuk jaringan berkenaan.

Derby meningkatkan tekanan pada penghujung aksi menerusi percubaan Jayden Bogle dan Mason Mount.

Jack Marriott kemudian melakukan percubaan kaki kiri yang sempat terbias ke badan Waghorn sebelum menerjah penjuru kiri bawah gawang lawan pada minit ke-81.

Bagaimanapun, Villa mengekalkan keputusan perlawanan untuk layak ke saingan divisyen utama musim depan.