Arsene Wenger percaya pembantu jurulatih Manchester City, Mikel Arteta, memiliki kualiti untuk menggantikannya di Arsenal.

Wenger meninggalkan Arsenal selepas 22 tahun di kelab itu dengan bekas kapten Arsenal, Arteta, disebut-sebut sebagai pilihan utama.

Arsenal dilaporkan sudah menemui Arteta semalam sambil Pep Guardiola mengesahkan dia sudi membenarkan pengurus kelahiran Sepanyol itu meninggalkan City sekiranya ditawarkan jawatan berkenaan.

Malah, Wenger turut memberi sokongan kepada Arteta sebagai pengurus Arsenal yang berikutnya selepas mereka gagal layak ke Liga Juara-Juara (UCL) buat tahun kedua berturut-turut selain terkandas dalam separuh akhir Liga Europa musim ini.

"Dia mempunyai semua kualiti yang diperlukan. Ya, saya fikir dia juga salah satu calon kegemaran," kata Wenger kepada beIN SPORTS.

"Dia seorang pemimpin dan dia mempunyai semangat jitu terhadap permainan ini dan dia mengenali kelab ini dengan baik, dia tahu apa yang penting di kelab ini dan dia merupakan bekas kapten kelab ini. Jadi, kenapa tidak?

"Saya meninggalkan banyak pengalaman. Orang yang pernah bersama saya seperti Steve Bould yang mempunyai pengalaman selama enam tahun, begitu juga Jens Lehmann. Dia (Arteta) juga adalah pembantu Guardiola, jadi secara keseluruhannya, saya fikir dia mempunyai kualiti."

Namun, Wenger menegaskan bahawa dia tidak akan terlibat dengan sebarang keputusan pelantikan penggantinya di Arsenal.

"Saya tidak mahu mempengaruhi (pelantikan itu) secara terbuka," kata Wenger.

"Saya percaya adalah penting untuk mereka membuat pilihan secara objektif dan selepas mereka membuat keputusan, saya akan menyokong mereka."