Pep Guardiola percaya Mikel Arteta akan menggantikannya sebagai pengurus Manchester City.

Arteta menyertai staf kejurulatihan Guardiola sebagai penolong jurulatih pada Julai 2016 selepas menamatkan karier sebagai pemain bola sepak bersama Arsenal.

Di bawah kendalian Guardiola, City telah meraih banyak kejayaan, menjulang dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), dua Piala EFL, Piala FA dan dua Perisai Komuniti.

Guardiola percaya rakan senegaranya, Arteta, mampu menggantikan tempatnya di Stadium Etihad.

"Saya pasti dia akan menggantikan saya dan bakal berjaya," katanya.

"Arteta akan menjadi salah seorang pengurus pada masa akan datang. Dia seorang pengurus yang muda. Memiliki pengalaman, membimbing barisan bintang dunia dan pasukan yang besar.

"Dia memiliki etika kerja yang menakjubkan. Dia mempunyai bakat yang istimewa dan cepat mencari jalan penyelesaian," katanya.

Guardiola turut berpandangan Arteta memiliki persamaan dengan dirinya dan memuji perwatakan bekas pemain tengah Everton itu.

"Dia sangat gembira setiap kali kami menang tetapi kecewa apabila tewas dan sentiasa mencari jalan penyelesaian," tambah Guardiola.

"Dia memiliki perwatakan yang sangat positif dan ia membantu menyatukan setiap individu dalam bilik persalinan dan dia sudahpun menjadi seorang pengurus yang berkualiti dan mampu berjaya pada masa akan datang."

City, yang kini ketinggalan lima mata kepada pendahulu EPL, Liverpool, akan menerima kunjungan Watford, malam ini.