BOURNEMOUTH 1 ARSENAL 2

Mikel Arteta berbangga dengan pemain muda Arsenal selepas skuad The Gunners itu melangkah ke pusingan kelima Piala FA dengan menewaskan Bournemouth 2-1 di Stadium Vitality awal pagi tadi.


Pasukan pelawat itu, yang juga juara 13 kali kejohanan berkenaan, memenangi perlawanan itu hasil jaringan Bukayo Saka dan Eddie Nketiah sebelum pemain gantian, Sam Surridge, menjaringkan gol sagu hati buat tuan rumah.

Dua penjaring Arsenal itu muncul pemain paling menyerlah dalam barisan muda yang disenaraikan Arteta tetapi mereka kehilangan seorang lagi pertahanan apabila Shkodran Mustafi mengalami kecederaan yang kelihatan serius.

Arteta, walaupun berpuas hati dengan persembahan pasukannya, mengakui kelab itu perlu mendapatkan pemain baru dalam jendela perpindahan bulan ini sambil Portsmouth akan menanti mereka dalam pusingan kelima Piala FA.

"Saya amat gembira. Ia sentiasa menjadi perlawanan yang sukar apabila hadir ke sini, kami juga melakukannya dengan menggunakan pemain muda," katanya kepada BBC Sport.

"Saya amat mempercayai mereka. Saya fikir mereka sedang berkembang dengan pesat.

"Mereka mahu, bernafsu dan akan menjadi lebih baik.

"Kami menganalisis lawan dan cuba mencipta situasi yang memberikan kelebihan buat pemain kami.

"Saya agak gusar dengan sejarah mereka dalam beberapa minggu ini kerana kami boleh dibolosi pada minit-minit akhir.

"Sejarah kelab kami dalam piala ini amat besar. Kami perlu mengambil selangkah demi selangkah," katanya.

Mengenai kecederaan Mustafi dan harapannya untuk mendapatkan pemain baru, Arteta menambah: "Kami perlu menilai keadaannya tetapi apabila Mustafi perlu dikeluarkan, biasanya ia bukan perkara baik.

"Kami sedang dalam jendela perpindahan. Kami sedang memikirkan sesuatu dengan sumber yang kami ada dan kami akan memaklumkan kepada anda sekiranya kami ada berita baru untuk dikongsikan," tambahnya.




Editor: Muzaffar Musa