Arsene Wenger mengakui bahawa Arsenal tidak patut tewas 0-1 di tangan Tottenham Hotspur kerana bimbang peluang untuk mengisi slot empat terbaik semakin kabur.

Jaringan tunggal Harry Kane pada minit ke-49 cukup untuk mengecewakan The Gunners, meletakkan mereka ketinggalan enam mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, yang turut mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Situasi itu membuatkan Arsenal tiada pilihan lain kecuali menjuarai saingan Liga Europa untuk mendapatkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan, sama seperti apa yang dilakukan Manchester United, tahun lalu.

“Ia adalah perlawanan yang kami tidak boleh tewas dan kini segalanya semakin sukar tetapi kami harus terus berjuang.

“Rekod kami di tempat lawan amat buruk. Saya juga percaya segalanya berubah apabila lawan menjaringkan gol,” ujar Wenger.

Pengurus dari Perancis itu kecewa apabila Kane dilihat menolak Laurent Koscielny sebelum melonjak tinggi untuk menanduk bola masuk ke gawang, namun Wenger kemudian menyifatkannya sesuatu yang adil.

“Saya tidak merungut. Saya sudah melihatnya semula dan ia adalah gol.

“Kane merupakan seorang penyerang yang hebat, salah seorang penyerang terbaik dunia ketika ini kerana dia mencatat jaringan tidak kira siapa lawan yang dihadapi,” tambahnya.