Arsenal telah melengkapkan perpindahan pemain antarabangsa Uruguay dari Sampdoria, Lucas Torreira.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu dilaporkan telah membayar GBP26 juta (RM138 juta) untuk mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu yang melakukan penampilan penuh dalam lima perlawanan Piala Dunia buat Uruguay.

Arsenal dilihat memberikan bayangan perpindahan itu menerusi media sosial sebelum mengumumkannya semalam.

Torreira menjadi pemain keempat yang didapatkan oleh pengendali baru Arsenal, Unai Emery, selepas membawa masuk Bernd Leno, Stephan Lichtsteiner dan Sokratis Papastathopoulos.

Sepanjang tempoh dua tahun Torreira di Sampdoria selepas berhijrah dari Pescara, dia melakukan 74 penampilan dan menjaringkan empat gol buat pasukannya.

Dalam satu kenyataan ringkas mengumumkan penghijrahan Torreira, kelab Serie A itu mengucapkan semoga berjaya di dalam kariernya.

Arsenal juga dijangka akan mengumumkan kehadiran pemain skuad B-20 Perancis, Matteo Guendouzi, yang bakal tiba dari Lorient.

"Kami telah mendapatkan pemain muda yang mempunyai bakat dan masa depan cerah apabila membawa masuk Lucas Torreira," kata Emery.

"Pemain tengah dengan kualiti yang terbaik, saya menikmati permainannya di Sampdoria dalam dua tahun lalu dan kami juga mendapati dia mempamerkan permainan memberangsangkan bersama Uruguay dalam Piala Dunia.

"Dia adalah pemain muda yang mempunyai pengalaman tetapi mahu terus berkembang. Kami mengalu-alukan kehadiran Lucas ke Arsenal dan tidak sabar menanti kehadirannya untuk menyertai persiapan pramusim," tambahnya.

Torreira akan menggunakan nombor 11 pada jersi yang dipakai, menggantikan tempat Mesut Ozil setelah bintang Jerman itu berubah kepada nombor 10 menjelang musim baru.