Pengurus baru Arsenal, Unai Emery, percaya dia telah memiliki barisan pemain yang mampu untuk mencabar kejuaraan.

Bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG) dan Sevilla itu akan mengendalikan pasukan tanpa aksi Liga Juara-Juara Eropah selepas musim terakhir Arsene Wenger menyaksikan The Gunners mengakhiri saingan liga di tangga keenam liga.

Emery telah menarik perhatian panel pemilihan daripada Ketua Eksekutif, Ivan Gazidis, Ketua Bahagian Pengambilan, Sven Mislintat, dan Ketua Perhubungan Bolasepak, Raul Sanllehi, untuk ditawarkan kontrak kerusi panas di Arsenal.

Pengendali berusia 46 tahun itu yakin perubahan besar tidak perlu dilakukan di Emirates dan berpuas hati dengan kualiti barisan pemain yang dimiliki.

"Saya mengenali kesemua pemain dan berasa mereka semua penting. Saya rasa saya mahukan semua pemain," katanya.

"Saya akan bersama mereka seperti sekarang dan akan menemui mereka seorang demi seorang.

"Saya juga percaya kepada setiap pemain yang berada di sini. Objektif utama adalah berusaha keras bersama kelompok pemain berbakat ini."

Arsenal memenangi tiga Piala FA dalam lima musim terakhir di bawah bimbingan Wenger, namun mereka dilihat semakin menjauhi persaingan kejuaraan liga, sekali gus menjadi satu keutamaan Emery untuk mengubahnya.

"Setiap kejuaraan yang ada pada musim depan akan kami sertai untuk mencabarnya.

"Ia sesuatu yang penting buat kelab setelah kehilangan tempat dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah."