Pengurus Arsenal, Unai Emery, menyuarakan kekagumannya terhadap Dani Ceballos daripada Real Madrid yang dilaporkan bersedia beralih arah ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut laporan, pemain tengah Madrid itu di ambang perpindahan pinjaman sepanjang musim ke Arsenal.

Arsenal, yang perlahan dalam aktiviti perpindahan, turut dikaitkan dengan pertahanan Celtic, Kieran Tierney, selain pemain remaja Saint-Etienne, William Saliba, dan bintang Crystal Palace, Wilfried Zaha.

Ketika ditanya mengenai pemain antarabangsa Sepanyol itu menjelang aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) dengan Madrid di Maryland, Amerika Syarikat (AS) pagi esok, Emery memberitahu wartawan: "Kami bercakap tentang kemungkinan untuk menandatangani seorang pemain pinjaman dan kami mempunyai nama yang berbeza.

"Kelab ini sedang berusaha untuk melakukannya. Ceballos merupakan pemain yang sangat bagus, saya mengenalinya sejak di Betis lagi dan juga di Real Madrid.

"Dia bermain dengan baik bersama pasukan B-21 dan membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia di peringkat umur itu."

Arsenal memenangi ketiga-tiga perlawanan pra-musim di AS dengan menundukkan Colorado Rapids (3-0), Bayern Munich (2-1) dan Fiorentina (3-0), hasil persembahan mengagumkan beberapa pemain muda mereka seperti Eddie Nketiah yang telah menyumbat tiga gol setakat ini.

"Kami memulakan aksi berdepan Colorado Rapids dengan sebilangan besar pemain muda dan secara perlahan-lahan mula menurunkan pemain yang lebih berpengalaman," kata Emery ketika ditanya mengenai pemain muda Arsenal.

"Ia bergantung kepada sesuatu perlawanan. Esok, saya merancang untuk memberi peluang kepada pemain yang saya fikir akan membarisi aksi pertama EPL ketika kami menentang Newcastle.

"Bagaimanapun, kami akan mengetengahkan beberapa pemain muda pada awal mahupun pertengahan permainan untuk terus menguji keupayaan pemain ketika berdepan Real Madrid."