Arsenal dinafikan sepakan penalti, kata Emery

Oleh Staff Writer 22 Oktober 2019 575
Arsenal dinafikan sepakan penalti, kata Emery
SHEFFIELD UNITED 1 ARSENAL 0

Arsenal dinafikan sepakan penalti yang jelas ketika tewas 0-1 kepada Sheffield United dan tidak sepatutnya tewas, kata pengurus pasukan itu, Unai Emery.


Jaringan tunggal Lys Mousset dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris itu di Bramall Lane awal pagi tadi memastikan pasukan tuan rumah itu melakar satu lagi kejutan.

Pemain berusia 23 tahun itu memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan sewaktu sepakan sudut untuk menghukum Arsenal, yang sebelumnya tidak pernah tewas dalam lapan perlawanan berturut-turut.

Kekalahan itu menyaksikan Arsenal terlepas peluang untuk menyertai kelompok tiga teratas, namun Emery berasakan pasukannya jelas dinafikan sepakan penalti selepas John Egan menarik baju Sokratis di depan gawang pada tujuh minit pertama.

"Kami tidak sepatutnya tewas dan kami menerima banyak sepakan penjuru dalam babak pertama dan mereka menjaringkan gol menerusi satu gerakan," katanya kepada Sky Sports.

"Apa yang utama, kami perlu memperbaikinya dengan tidak membenarkan pergerakan bola seperti itu.

"Apabila kami berpeluang untuk menyerang, kami mencipta lebih banyak peluang daripada mereka tetapi tidak menjaringkan gol hari ini.

"Kami layak menerima sesuatu yang lebih berdasarkan permainan kami tetapi mereka merupakan pasukan yang paling sedikit dibolosi dalam Liga Perdana dan ia menjadi sukar apabila mereka memperoleh gol terlebih dahulu.

"Kami mencuba dalam babak kedua dan mencipta tiga peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

"Terdapat dua perkara penting dalam perlawanan ini -- satu adalah gol mereka dan yang kedua adalah sepakan penalti yang jelas buat kami ketika Sokratis dikasari. Ia amat jelas," katanya.

Bukayo Saka kemudian dilayangkan kad kuning gara-gara melakukan simulasi dalam kotak penalti ketika mendapat tekanan daripada Enda Stevens -- lima minit selepas Mousset menjaringkan gol dari jarak dekat.

"Saka meluru ke depan tetapi saya tidak tahu jika ia adalah sepakan penalti.

"Kad kuning yang diberikan itu terlalu berat.

"Dengan adanya VAR (video bantuan pengadil), kekasaran ke atas Sokratis itu sepatutnya dinilai semula.

"Ia amat jelas tetapi kami harus menerimanya.

"Kami tidak sepatutnya kalah dan kami akan memikirkan di bahagian mana yang kami boleh perbaiki.

"Ketika kami tewas 0-1, kami menguasai permainan dan bertahan dengan baik tetapi mereka mempunyai ramai pemain dalam kotak penalti, jadi amat sukar untuk kami melakukan serangan," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen