Arsenal telah didenda kerana gagal mengawal pemain-pemainnya ketika aksi menentang Leicester City, Rabu lalu, yang berkesudahan The Gunners tewas 3-1, umum Persatuan Bolasepak England (FA).

Denda itu dijatuhkan berdasarkan reaksi pemain-pemain Arsenal terhadap keputusan pengadil perlawanan, Graham Scott, selepas Henrikh Mkhitaryan didakwa menjatuhkan Demarai Gray di dalam kotak penalti.

Penyerang The Foxes, Jamie Vardy, menyempurnakan sepakan itu sebelum gol lewat daripada Riyad Mahrez mengesahkan tiga mata buat Leicester dalam perlawanan yang menyaksikan Arsenal beraksi dengan 10 pemain selepas Konstantinos Mavropanos dilayangkan kad merah.

“Arsenal telah didenda kerana gagal mengawal reaksi pemain dengan cara yang sepatutnya,” kata kenyataan daripada wakil FA.

“Insiden itu berlaku pada minit ke-75 sewaktu perlawanan melibatkan Arsenal dan Leicester City.

“Arsenal mempunyai tempoh sehingga jam 6 petang pada 16 Mei 2018 (1 pagi 17 Mei 2018 waktu Malaysia) untuk mengemukakan sebarang tindakan terhadap denda itu.”